Saturday 21 April 2012

TUNAIKANLAH ZAKAT


Zakat Emas & Perak

Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).
Dalil Wajib Zakat:

“Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
Surah At-Taubah: (34-35)
Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah)

Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak:
  • Emas Perhiasan Wanita
    • Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram
    • Contoh:
      (Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)
      900 gram x RM50 = RM45000 x 2.5% = RM1125

  • Emas Yang Disimpan
    • Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.
    • Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram
    • Contoh:
      Timbangan emas x harga semasa x 2.5%
      90 gram x RM50 = RM4500 x 2.5% = RM112
  • Perak
    • Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih
    • Contoh:
      800 gram perak x RM0.90(segram) x 2.5% = RM18

Friday 2 March 2012

Tip elek Histiria

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Tuesday 28 February 2012

MUQADDIMAH..

  .

Orang lain umpama cermin kepada diri kita. Mereka melihat apa yang kita tidak nampak. Orang lain nampak kelemahan yang kita tidak sedari. Berkongsi kekuatan dan kelemahan diri bersama rakan yang boleh dipercayai adalah suatu cara kita mengenali diri.  
Saiyidina Umar Al-Khattab pernah berkata bahawa mereka (sahabat) yang dapat memperkatakan tentang kelemahan diri beliau adalah kawan beliau. Ini menunjukkan kesungguhan khalifah ke-2 Islam ini untuk memuhasabah diri.
Tidak salah untuk kita meminta teman-teman rapat kita mengkritik diri kita, tetapi berapa ramaikah yang sanggup mengkritik orang lain untuk memperbaiki dirinya?

Monday 27 February 2012

Solat Sunat Dhuha – Kunci Rezeki

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-
Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu.
Di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” – Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi
Hadis-hadis diatas jelas menunjukkan tentang kelebihan solat sunat dhuha dan betapa besar ganjarannya apabila kita menunaikan solat sunat dhuha dan sentiasa beristiqamah dengan solat sunat ini. Tambahan pula antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaan mengenai solat sunat ini, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” – Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Doa Solat Sunat Dhuha:
Sumber: 1. http://www.mohamadazhan.com
                  2. http://nursyirah.wordpress.com

Adakah Boleh Wanita Haid Menghadirkan diri Dalam Majlis Akad di dalam Masjid

Menurut jumhur/majoriti ulamak (termasuk Imam-Imam mazhab empat); Wanita yang sedang haid dilarang duduk di dalam masjid berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-:
“Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.)
Kawasan yang dilarang itu ialah kawasan yang dikhaskan untuk tempat solat. Adapun di ruang yang bukan tempat solat (seperti di dewan masjid, ruang pejabat, kemah di luar bangunan masjid dan sebagainya), tidaklah dilarang.
Namun menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir); Tidak dilarang wanita haid duduk di dalam masjid kerana tidak ada dalil yang benar-benar kuat yang menjadi hujah bagi larangan tersebut. Adapun hadis di atas, menurut mereka; ia adalah dhaif sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Khattabi; “Hadis tersebut telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis” (lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Apabila tidak ada dalil yang kuat (bagi larangan tersebut), maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.
Pandangan yang diamalkan ialah yang pertama. Walaupun bersandar kepada hadis dhaif, namun hadis dhaif apabila diamalkan oleh Imam-Imam mujtahid menunjukkan hadis itu tsabit. Selain itu, dengan berpegang dengan pendapat itu kita mengelak dari pertikaian.
Tambahan;
1. Mengenai hukum berakad nikah dalam masjid; jumhur ulamak menggalakkannya kerana mengharapkan barakah. Tetapi hendaklah menjaga adab-adab ketika dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang merosakkan kehormatan masjid termasuk pakaian pengantin dan solekan mereka. Kerana itu –untuk mengelak berlaku perkara tersebut- ulamak-ulamak mazhab Maliki hanya mengharuskan sekadar ijab dan qabul sahaja di dalam masjid, tidak harus berbuat bising, menguatkan suara, percakapan yang banyak dan seumpamanya kerana ia tidak sesuai dengan kemuliaan masjid. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”.

Thursday 23 February 2012

Rasulullah puji manusia sentiasa mengingati mati

MAKHLUK bernyawa di bumi ini pasti akan menghadapi kematian. Namun bila waktunya, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Perkara ini dinyatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Semua yang ada di bumi akan binasa. Dan tetap kekal zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.” (Surah ar-Rahman, ayat 26-27) Kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara, begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini. Rasulullah saw juga ada berpesan kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ini ialah mengingati mati. Amalan itu bukanlah bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan, lebih-lebih lagi Islam menyeru umatnya supaya membangunkan akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan kebaikan itu meliputi kesemuanya. Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah itulah yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Oleh demikian, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada biji benih kurma, maka hendaklah dia menanamkannya.” (Riwayat Ahmad). Sehubungan itu, Baginda memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dianggap oleh Rasulullah sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk mengadap Allah selepas mati. “Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Riwayat Tirmizi). Dalam satu hadis lain, Rasulullah menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan mengingati mati sebagaimana berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. “Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi). Mafhum yang tersurat dan tersirat daripada dua hadis itu jelas menyimpulkan bahawa fitnah dunia ini iaitu daripada isteri, anak pinak, harta, pangkat, keturunan dan sebagainya selalu mengabui pemikiran dan pandangan hidup manusia, di samping sentiasa melalaikan dan melekakan manusia daripada matlamat hidup sebenarnya. Oleh sebab itulah, Rasulullah sentiasa menganjurkan umatnya supaya selalu mengingati mati kerana amalan itu akan membuatkan manusia sedar bahawa pesona atau fitnah dunia yang menghiasi alam ini hanyalah permainan dan gurauan senda bersifat sementara. Ini bermakna, harta yang dicari akan hilang atau habis juga akhirnya. Anak dan isteri akan ditinggalkan juga apabila maut datang menjemput seseorang manusia. Pangkat dan keturunan pula akan luput ditelan bumi. Dalam hal ini, Allah berfirman dalam yang bermaksud: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan liar durjana). Akan tetapi, Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. “Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi Maha Melihat dengan nyata.” (Surah asy-Syura, ayat 27). Dengan mengingati mati, seseorang Muslim akan sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari bahawa Allah Maha Memerhati dan Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada waktu terang-terang atau sunyi. Dengan mengingati mati juga akan mengurangkan panjang angan-angannya, menjauhkannya dari fitnah dunia yang mempesona dan membersihkan hatinya daripada terpalit dengan sifat sombong dan tamak. Seterusnya, mengingati mati akan menjadikan seseorang Muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas. Mereka memiliki semangat waja dan beristiqamah dalam menelusuri titian hidup yang penuh pancaroba dan hatinya akan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah. Apa yang diimpikan dalam dasar jiwa seseorang yang beriman kepada Allah melalui amalan mengingati mati ini ialah mengharapkan agar apa yang dijanjikan Allah kepada orang beriman iaitu keredaan Ilahi dan kebahagiaan abadi dunia dan akhirat. Perlu diinsafi bahawa jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk. Malah maut tidak akan terlewat atau cepat daripada ketentuan ditetapkan oleh Allah di Loh Mahfuz. Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui Allah sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat mengenai hari kiamat. “Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya mengenai apa yang terkandung dalam rahim (ibu yang mengandung). “Dia tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Lukman, ayat 34). Justeru, setiap insan sewajarnya menginsafi diri bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan apabila sampai masanya nanti, setiap individu akan dipanggil menghadap Allah. Alangkah beruntungnya insan beriman dan bersiap sedia menghadapi hari kematian dengan amal soleh dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, rugi dan malangnya orang yang mengingkari kepastian hari akhirat dan tidak beriman kepada Allah, yang tiada lagi peluang kali kedua atau seterusnya untuk kembali ke dunia. Kehidupan di dunia hanya sekali bagi setiap insan dan kehidupan yang sebenarnya kekal abadi ialah kehidupan pada alam akhirat nanti

KASIH IBU BAPA SEKALUNG BUDI ABADI..

RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.” Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan. Kasih sayang ayah dan ibu adalah hutang yang tidak pernah dapat dibayar oleh seseorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit setiap pemberian mereka kepada kedua-dua orang tua. Tindakan sebegitu pasti amat melukakan hati kedua-duanya. Tidakkah mereka sedar kehidupan yang dikecapi sekarang bermula daripada setitis air mani ayah dan keredaan seorang ibu menanggung derita dalam kehamilan . Jika dapat dihitung segala jasa mereka, sungguh dunia dan seisi ini takkan mampu membayar balik jasa mereka. Pada suatu hari, ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.” Bagaimana dengan berjuta nafas yang dihirup oleh seorang ibu demi bayi di dalam rahimnya? Sentuhannya, dakapan dan titisan air susunya? Sanggupkah kita membayar semua itu? Berapakah harga setiap suapan hasil titik peluh ayah? Harga didikan adab dan ilmu yang diajarkan kepada kita sehingga menjadikan kita mulia di mata manusia? Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian tiga perkara dan membenci tiga perkara: Ia mengharamkan derhaka kepada ibumu, membunuh anak perempuan, tidak mahu memberi tapi suka meminta. Ia membenci tiga perkara: Banyak bercakap kosong, banyak bertanya,†Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Dr A’id al-Qarni ketika membahaskan mengenai hadis di atas berkata: Perbuatan derhaka kepada ibu dan ayah adalah seperti memutuskan daripada menziarahi kedua-duanya, tidak memberikan nafkah kepada mereka sedangkan mereka berhak mendapat nafkah, menyakiti hati mereka dan tidak memenuhi hak mereka. Tiada siapa yang mahu dikatakan dirinya anak derhaka. Tetapi tindakan dan sikap yang ditunjukkan oleh seseorang anak itu adalah gambaran zahir yang tidak dapat disembunyikan. Pandangan manusia boleh menilai walaupun sifatnya subjektif. Apatah lagi pandangan Allah, siapakah yang boleh menyembunyikan aibnya? Penderhakaan itu akan membekas di hati ibu bapa dan akan dibawa sampai ke mati. Tentunya kita tidak sanggup melihat keadaan ini. Ada yang berpendapat bahawa semua itu adalah akibat salah ibu bapa mendidik. Tetapi bukankah manusia bertambah dewasa dan tahu memilih yang benar dan salah? Untuk apa akal dan hati yang Allah cipta dan kurniakan jika bukan untuk memujuk ego supaya tunduk pada ajaran yang hak? Ada pula yang berani berkata: “Atas sebab ibu bapa derhaka kepada anak, maka anak pun membalas!” Hati jenis apakah yang sanggup membalas kekhilafan ibu bapanya dengan kejahatan dan dendam? Maknanya jika ibu menampar wajah anak, anak pula berhak membalas tamparan itu ke wajah ibunya? Kalau memang ibu bapa itu jahat, apakah mereka akan membiarkan diri kita hidup dari dulu lagi. Mereka boleh melepaskan tanggungjawab jika mahu. Mengapa disebabkan kesalahan yang sedikit, maka kebaikan yang terlalu banyak dilupakan? Ibu bapa kita adalah sumber kekuatan diri kita. Iman tidak sempurna jika kita mencalarkan kebeningan hati mereka. Di tengah kesibukan dunia yang menenggelamkan hati dan perasaan anak, ada satu masa anak pasti berasa terseksa iaitu apabila dia mengingat kembali pelukan dan ciuman kasih ayah ibunya tetapi tiada peluang baginya untuk memohon ampun kepada kedua-duanya. Kembalilah kepada mereka dengan hati yang ikhlas, sebelum segala berakhir dengan kesedihan dan penyesalan sepanjang hayat. “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah sebagai ingatan bahawa kebahagiaan anak itu bermula daripada hati ibu bapa yang reda. INTI PATI Tanggungjawab anak Anak perlu menjaga hati ibu dan ayah yang banyak berkorban membesarkan mereka Allah menjadikan manusia dengan tanggungjawab. Ketua keluarga mendidik zuriat untuk kesejahteraan di dunia dan akirat. Anak pula perlu kepada arahan orang tuanya yang tidak bercanggah dengan hukum Allah Jagalah kehidupan orang tua sendiri selagi hayat di kandung badan. Jasa mereka adalah hutang anak sepanjang hayat Sikap derhaka amat keji dan boleh merosakkan jiwa. Anak perlu matang bertindak terutama berkaitan hubungan dengan ayah dan ibu Redakan kesilapan sedikit ibu dan ayah, kerana sumbangan mereka membesarkan anak mengatasi segala-galanya