Menurut jumhur/majoriti ulamak (termasuk Imam-Imam mazhab empat);
Wanita yang sedang haid dilarang duduk di dalam masjid berdalilkan sabda
Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-:
“Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.)
Kawasan yang dilarang itu ialah kawasan yang dikhaskan untuk tempat
solat. Adapun di ruang yang bukan tempat solat (seperti di dewan masjid,
ruang pejabat, kemah di luar bangunan masjid dan sebagainya), tidaklah
dilarang.
Namun menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam al-Muzani, Daud
az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir); Tidak dilarang wanita haid duduk di dalam
masjid kerana tidak ada dalil yang benar-benar kuat yang menjadi hujah
bagi larangan tersebut. Adapun hadis di atas, menurut mereka; ia adalah
dhaif sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Khattabi; “Hadis tersebut telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis” (lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Apabila tidak ada dalil yang kuat (bagi larangan tersebut), maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.
Pandangan yang diamalkan ialah yang pertama. Walaupun bersandar
kepada hadis dhaif, namun hadis dhaif apabila diamalkan oleh Imam-Imam
mujtahid menunjukkan hadis itu tsabit. Selain itu, dengan berpegang
dengan pendapat itu kita mengelak dari pertikaian.
Tambahan;
1. Mengenai hukum berakad nikah dalam masjid; jumhur ulamak
menggalakkannya kerana mengharapkan barakah. Tetapi hendaklah menjaga
adab-adab ketika dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang
merosakkan kehormatan masjid termasuk pakaian pengantin dan solekan
mereka. Kerana itu –untuk mengelak berlaku perkara tersebut-
ulamak-ulamak mazhab Maliki hanya mengharuskan sekadar ijab dan qabul
sahaja di dalam masjid, tidak harus berbuat bising, menguatkan suara,
percakapan yang banyak dan seumpamanya kerana ia tidak sesuai dengan
kemuliaan masjid. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”.
No comments:
Post a Comment